DIDEKITE

AKU seorang insan.. seperti juga orang lain yang ingin menjadi seperti pepatah orang tua-tua dahulu kala.."Kalau tidak boleh menjadi garam yang memasinkan ikan..... JANGAN pula menjadi lalat yang membusukkan ikan.."



Search This Blog

Tuesday, July 25, 2006

PERGINYA HANI MOHSIN

Hari ini kita dikejutkan dengan kematian mengejut pelakon dan pengacara terkenal Hani Mohsin.... dalam usia yang masih muda...... dengan meninggal seorang anak perempuan berusia 10 tahun...innalillahiwainnaillahirrajiun....... darinya kita datang....dan kepadanya kita kembali.... telahkan kita bersedia.......

Hani Mohsin meninggal dunia akibat serangan jantung


Hani Mohsin.

KUALA LUMPUR 25 Julai – Pelakon filem dan drama terkenal yang juga hos rancangan Roda Impian, Hani Mohsin Hanafi, 41, meninggal dunia akibat serangan jantung selepas pengsan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, di sini hari ini ketika sedang menunggu penerbangan ke Alor Star.

Beliau yang juga bekas suami Datin Seri Tiara Jacquelina menghembuskan nafas terakhir ketika dikejarkan ke Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Sepang, dekat sini selepas pengsan kira-kira pukul 9.30 pagi.

Pelakon tersebut bersama anak tunggalnya, Hani Karmila, 9, dijadual berlepas ke Alor Star sebelum meneruskan perjalanan ke Langkawi untuk bercuti.

Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Zahedi Ayob memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10 pagi memaklumkan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, selepas disahkan meninggal dunia, jenazah Hani Mohsin telah dibawa ke Hospital Serdang di sini kira-kira pukul 1 tengah hari bagi proses bedah siasat.

Tiara Jacquelina dan suaminya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi turut berada di hospital tersebut.

Sementara itu, jenazah Hani Mohsin tiba di rumahnya di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, di sini kira-kira pukul 5.30 petang ini sambil diiringi Tiara Jacquelina, Hani Karmila dan Effendi.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Al-Ridzuan, Hulu Klang di sini selepas solat Isyak sebelum dikebumikan di sebelah pusara ibunya, Hasni Bakar di Tanah Perkuburan Islam Al-Ridzuan, Hulu Klang.

Dalam pada itu, beberapa orang rakan artis termasuk Senator Datuk Jins Shamsuddin, Datuk Mustafa Maarof, A. Rahman Hassan turut menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya itu.


Anak lihat ayah rebah


Tiara bersama Effendy Norwawi dan dua anaknya, Hani Karmila dan Eridani memberi perhormatan terakhir kepada Allahyarham Hani Mohsin di Hospital Serdang, semalam.
KUALA LUMPUR 25 Julai – “Ayah jatuh” demikian kata Hani Karmila yang menghubungi ibunya Datin Seri Tiara Jacquelina tanpa mengetahui bahawa bapanya, Hani Mohsin sudah meninggal dunia.

Menurut Hani Karmila, 9, dia menghubungi ibunya menggunakan telefon bimbit bapanya, Hani Mohsin yang rebah di kaunter pendaftaran AirAsia, Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang hari ini.

Menceritakan detik-detik akhir kejadian itu, Hani Karmila berkata, dia dan bapanya tiba lewat di LCCT dan berada dalam tergesa-gesa menuju ke kaunter pendaftaran.

“Cepat. Kita sudah terlambat,” merupakan kata-kata terakhir yang diucapkan oleh Hani Mohsin kepada Hani Karmila.

Menurut Hani Karmila, dia dan bapanya dalam perjalanan untuk bercuti ke Pulau Langkawi dan Pulau Pinang selama seminggu dan akan pulang pada 1 Ogos ini.

Hani Karmila merupakan anak tunggal Hani Mohsin bersama Tiara Jacquelina hasil perkahwinan mereka pada 11 September 1993. Bagaimanapun pasangan itu bercerai pada 16 Februari 1998.


‘Aku letih, aku nak rehat panjang’

Oleh Wan Mohd Hafiz Wan Hamzah

KUALA LUMPUR 25 Julai – ‘’Letih sangat rasanya, lepas ni aku nak rehat panjang,’’ begitulah luahan terakhir Allahyarham Hani Mohsin Hanafi kepada rakan karibnya, Abdul Halem Mat Som, 40, ketika sedang menikmati makan tengah hari di sebuah restoran kepunyaan selebriti Linda Onn, di Ampang Point, Ampang, semalam.

Abdul Halem, yang bertugas sebagai Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkata, sepanjang pertemuan mereka tengah hari itu, Allahyarham berulang kali mengadu keletihan akibat sibuk dengan penggambaran drama.

“Mungkin inilah yang Allahyarham maksudkan dengan ‘rehat yang panjang’. Ketika itu, saya tidaklah ambil berat luahan Allahyarham sebab dia memang bercadang mahu bercuti dengan anaknya, Hani Karmila ke Langkawi,’’ katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham Hani Mohsin di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, di sini hari ini


Edisi Nasional: Cium ayah penuh harap

Oleh Badrila Jamlus, Ellyna Ali, Norhayati Nordin dan Rashidi Karim

KUALA LUMPUR: “Berkali-kali saya cium pipi ayah dengan harapan dia akan bangun dan sedar. Namun, bila melihat ayah sudah tidak bernafas dan tidak bergerak lagi, barulah saya sedar ayah sudah tiada dan pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya.

“Hanya Tuhan saja tahu betapa sedih dan hibanya perasaan saya. Pada masa itu, saya juga terfikir, kenapa semua ini mesti terjadi pada diri saya, sedangkan kami berdua sedang dalam perjalanan untuk bercuti di Pulau Langkawi bersama,” luah Hani Karmila, 10, ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham bapanya, Hani Mohsin, di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang, malam tadi.


Edisi Nasional: Kempunan kari ketam, sambal sotong

KANGAR: Allahyarham Hani Mohsin, 41, meminta ibu saudaranya yang tinggal di sini memasak kari ketam dan sambal tumis sotong kegemarannya sebagai juadah makan tengah hari semalam.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila pelakon dan pengacara terkenal itu meninggal dunia selepas diserang sakit jantung di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) ketika mendaftar masuk ke kaunter penerbangan ke Alor Star bersama anak tunggalnya, Hani Karmila, 10, kira-kira jam 9.30 pagi.

Ibu saudaranya, Hasnu Bakar, 60, berkata Hani menelefonnya malam kelmarin dan meminta dia memasak kari ketam dan sambal tumis sotong untuk makan tengah hari bersama keluarga di rumahnya di Taman Sena Indah, di sini.

“Saya meminta seorang peniaga di pasar menghantar ketam dan sotong untuk dimasak seperti yang dia minta malam tadi (kelmarin). Ketika membuat persiapan untuk memasak, saya diberitahu Hani meninggal dunia secara mengejut.

“Saya lemah dan sebak mendengar berita kematian Hani kerana baru malam tadi (kelmarin) saya berbual dengannya menerusi telefon. Allahyarham yang sudah tidak mempunyai ibu bapa, sangat rapat dengan saya.

“Dia beria-ria mahu pulang ke rumah ini bersama Hani Karmila untuk beristirahat di Langkawi memandangkan anak tunggalnya yang bersekolah di Bukit Antarabangsa sedang bercuti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Ketika ditemui, Hasnu bersama suaminya, Yaacob Samah, 66, dan anaknya Yahasmizan, 42, sedang bersiap untuk bertolak ke Kuala Lumpur bagi menziarahi jenazah Hani.

Hasnu berharap dia dapat menatap wajah Hani sebelum jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang.




No comments: