DIDEKITE

AKU seorang insan.. seperti juga orang lain yang ingin menjadi seperti pepatah orang tua-tua dahulu kala.."Kalau tidak boleh menjadi garam yang memasinkan ikan..... JANGAN pula menjadi lalat yang membusukkan ikan.."



Search This Blog

Monday, October 22, 2007

ANGKASAWAN KITA TELAH SELAMAT KEMBALI KE BUMI

Jika sayangkan sesuatu atau seseorang..... segala-gala yang lain kita ketepikan.....

‘Syukur Sheikh Muszaphar selamat’
Daripada: METRA SYAHRIL MOHAMED

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendengar pengalaman angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor selepas mendarat di Kazakhstan, kelmarin. Turut hadir ialah bapa Sheikh Muszaphar, Datuk Mustapha Shukor (kiri).

MOSCOW 22 Okt. – Kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pulang ke Bumi petang semalam, mengalami sedikit gangguan teknikal yang menyebabkannya tersasar jauh ketika mendarat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun tersasar dan mengalami tekanan yang cukup berat, beliau bersyukur Sheikh Muszaphar dapat kembali dengan selamat.

“Saya difahamkan pendaratan kapsul Soyuz itu tersasar jauh sehingga 600 kilometer berbanding yang ditetapkan sebelum ini. Namun, apa yang penting adalah, beliau berada dalam keadaan selamat,” katanya pada sidang akhbar selepas menyambut kepulangan Sheikh Muszaphar di Lapangan Terbang Chakalovsky, dekat sini, malam tadi.

Sheikh Muszaphar selamat mendarat di Bumi pada pukul 2.37 petang semalam waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia) selepas melalui perjalanan selama tiga jam 23 minit.
Selain beliau, turut berada dalam kapsul Soyuz TMA-10 adalah dua angkasawan Rusia iaitu Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov.

Ketiga-tiga angkasawan itu kemudiannya diterbangkan ke Moscow dan tiba di sini pada pukul 10.36 malam waktu tempatan (2.36 pagi waktu Malaysia). Mereka seterusnya dibawa ke Pusat Latihan Kosmonaut Gagarin (GCTC) dan sebaik tiba pada pukul 11.15 malam (3.15 pagi waktu Malaysia) dan disambut dengan kumpulan pancaragam.Sheikh Muszaphar, Yurchikhin dan Kotov kemudiannya dibawa ke dalam GCTC untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dikuarantin. Najib berkata, beliau sendiri telah dapat berjumpa dengan Sheikh Muszaphar dan angkasawan itu memberitahu bahawa kesihatannya adalah baik.
Sheikh Muszaphar, jelasnya, turut menceritakan segala pengalamannya sepanjang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama 10 hari itu.

“Ketika perjalanan pulang, kapsul Soyuz itu mengalami sedikit gangguan sehingga menyebabkan beliau menghadapi tekanan, namun Sheikh Muszaphar membuktikan bahawa dirinya cukup cekal.

“Ini membuktikan bahawa beliau sudah membuat persediaan secukupnya dan sememangnya Sheikh Muszaphar seorang yang benar-benar layak untuk bergelar angkasawan,” katanya. Ujar Najib, proses kuarantin terhadap Sheikh Muszaphar berkemungkinan akan berlanjutan sehingga sembilan hari dan selepas itu, wira negara itu akan terus dibawa pulang ke tanah air.
Ditanya mengenai misi seterusnya sama ada Mejar Dr. Faiz Khaleed akan dihantar untuk menyertai misi ke angkasa, beliau berkata:

“Itu tunggu dahulu. Nantilah kita tengok (lihat bagaimana).”

No comments: